Uncategorized

Aaron Ago Dagang seru rakyat Malaysia sambut Deepavali dengan semangat perpaduan

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada rakyat Malaysia yang beragama Hindu dan menekankan kepentingan perpaduan serta keharmonian dalam kepelbagaian budaya negara ini.

Aaron berkata, Deepavali atau Pesta Cahaya membawa makna mendalam iaitu simbol cahaya mengatasi kegelapan dan kebaikan mengalahkan kejahatan.

“Perayaan itu tidak hanya diraikan oleh penganut Hindu, tetapi juga menjadi peluang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bersama-sama meraikan kekayaan budaya yang ada.

“Deepavali mengingatkan kita tentang perpaduan dan pentingnya hidup dalam keharmonian. Menyalakan pelita melambangkan harapan serta kesedaran rohani yang menghapuskan kegelapan dalam kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru masyarakat menghargai setiap perayaan sebagai cara memperkukuh hubungan antara kaum di negara ini.

“Dalam konteks negara kita yang penuh kepelbagaian, amat penting bagi kita menghormati setiap perayaan dan memahami makna yang dibawa oleh tradisi berbeza,” katanya lagi.

Datuk Aaron turut berkata, perayaan seperti Deepavali adalah kesempatan untuk rakyat Malaysia mengeratkan silaturahim tanpa mengira bangsa, agama atau budaya.

“Ini masanya untuk kita meraikan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia dan mengukuhkan perpaduan yang menjadi asas kepada keamanan serta kemakmuran negara.” katanya lagi.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan harapan agar semangat Deepavali menerangi jalan menuju masa depan yang lebih cerah untuk semua. “Deepavali Valthukkal!”

Show More

Related Articles

Back to top button