Jenayah & Mahkamah

Muat naik isu 3R: MCMC ambil keterangan Razman Zakaria

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria semalam atas hantaran yang didakwa bersifat palsu dan jelik.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, hantaran itu yang dimuat naik di akaun Facebook Haji Razman Zakaria melibatkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman termasuk isu kibaran bendera negara asing semasa perarakan sambutan Malaysia Guang Ze Zun Wang Cultural Festival 2024 baru-baru ini.

“Terdahulu, satu notis telah dihantar kepada beliau untuk memberi keterangan
bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi yang antara lain, bersifat mengancam, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu katanya, hari ini, pasukan penguatkuasa MCMC mengambil keterangan pentadbir akaun Facebook berkenaan dan menyita kelengkapan komunikasi milik pentadbir akaun tersebut iaitu satu unit telefon bimbit dan satu unit kad sim yang digunakan bagi tujuan di atas bagi membantu siasatan.

Barangan disita MCMC

“Pihak MCMC mengingatkan masyarakat supaya sentiasa cakna dan berhati-hati
sebelum memuat naik sebarang kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam terutamanya isu 3R.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button