Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Takrifan T15 akan diperincikan dalam masa sebulan, ambil kira lokaliti, tanggungan -Rafizi Ramli

MELAKA – Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kewangan akan memperincikan takrifan golongan T15 dalam tempoh sebulan dari sekarang untuk dibentang dan diluluskan Kabinet.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengkelasan itu penting untuk menyediakan garis panduan yang lebih terperinci dan tepat mengenai kumpulan itu.

Katanya, antara penilaian penting dalam takrifan itu adalah faktor lokaliti (mengikut kawasan) dan bukan bersifat umum seperti yang difahami sebelum ini.

“Oleh kerana keperluan rakyat berbelanja berbeza-beza, kuasa hidup mereka berbeza mengikut kawasan. Jadi takrifan T15 tidak akan mengikut garis asas untuk satu negara.

“Mungkin di satu kawasan, kalau lebih RM10,000 pendapatan isu rumah, boleh dinilai semua dan perbelanjaan bersih dan pendapatan boleh belanja bersih,” katanya kepada pemberita.

Rafizi berkata demikian selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Melaka hari ini.

Beliau berkata, perincian terhadap takrifan itu penting untuk mengelak ketidakadilan kerana pendapatan yang sama di kawasan yang berbeza mempunyai kesan saraa hidup yang berbeza.

“Misalnya orang berpendapatan RM15,000 di Kuala Lumpur yang barang semua mahal tidak sama dengan orang bergaji sama tetapi tinggal di Gua Musang,” katanya.

Selain itu katanya, takrifan juga akan dinilai berdasarkan pendapatan sesebuah isi rumah dengan jumlah tanggungan untuk mengetahui berapa keperluan untuk menjalani kehidupan sewajarnya.

Isu definisi dan takrifan T15 yang tidak diperjelaskan kerajaan sebelum ini mencetuskan kritikan ramai yang beranggapan dasar kos sara hidup kerajaan terhadap mereka yang dikelaskan dalam golongan itu sebagai tidak adil.

 

Show More

Related Articles

Back to top button