AmRencana

Disuruh berhenti sekolah, tumpu kerja perah susu lembu

Perkongsian kisah hidup Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor, Sarkunan a/l Balakrishnan

Oleh AMIR SARIFUDIN

SHAH ALAM – Di sebalik kejayaan dipilih sebagai Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor (SELSDEAF) untuk penggal 2024 – 2028, tersimpan kisah penuh cabaran yang dilalui Sarkunan a/l Balakrishnan sejak dari zaman kanak-kanaknya.

Anak kepada penoreh getah ini mula kehilangan pendengaran ketika berusia lapan tahun akibat demam panas yang dialaminya.

Mengimbas kembali detik tersebut, Sarkunan yang kini berusia 58 tahun, menceritakan bagaimana pendengarannya mula merosot selepas pulih dari demam panas.

“Walaupun pekak, saya tetap teruskan ke sekolah. Dunia saya menjadi sangat berbeza kerana semuanya tiba-tiba menjadi sunyi sepi,” katanya yang membesar di Melaka.

Perubahan itu turut memberi kesan pada persahabatan, apabila rakan-rakannya semakin menjauhkan diri selepas dia hilang pendengaran.

Sarkunan berkongsi cerita ini selepas berjaya mempertahankan jawatan Presiden SELSDEAF tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 SELSDEAF.

Barisan pemimpin baharu Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Selangor.

Pada mesyuarat itu, Soon Yeok Voon turut menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

Walaupun kehilangan pendengaran, Sarkunan tetap memilih untuk bersekolah di sekolah biasa bersama pelajar-pelajar normal.

Keadaan menjadi sukar apabila dia perlu mengambil masa lebih lama untuk memahami apa yang diajar oleh guru.

“Kawan-kawan saya boleh faham dalam sehari, tetapi saya memerlukan lima hari untuk benar-benar faham,” katanya.

Setiap kali pulang dari sekolah, beliau akan mengulang kaji apa yang dipelajari, walaupun ia mengambil masa berhari-hari untuk difahami.

Beliau kini hidup bersama seorang isteri dan dua orang anak perempuan, masing-masing berusia 21 dan 26 tahun.

Antara kenangan yang tidak mungkin dilupakan Sarkunan adalah apabila beliau dinasihatkan supaya berhenti sekolah oleh gurunya untuk mencari rezeki dengan memerah susu lembu.

“Saya tidak marah. Saya faham mungkin guru itu penat mengajar saya. Tapi saya tetap terus ke sekolah untuk belajar,” katanya.

Sebagai anak ketiga daripada tujuh beradik dalam keluarga yang bergantung kepada pendapatan kecil sebagai penoreh getah, kehidupan Sarkunan sangat mencabar.

Selain mengulang kaji pelajaran selepas waktu sekolah, beliau juga mengambil upah menoreh getah pada waktu petang, sementara pada malamnya beliau memerah susu lembu untuk dijual.

“Keluarga kami ada dua ekor lembu, dan itulah rutin saya sejak kecil,” katanya.

Beliau juga mengimbau pengalaman ketika memperoleh keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dengan pangkat B, di mana seorang guru tidak percaya akan pencapaiannya dan menuduhnya meniru.

“Saya tidak marah, saya faham dia terkejut,” katanya sambil tersenyum mengingatkan peristiwa tersebut.

Disebabkan kesempitan hidup, Sarkunan sering tidak mempunyai wang untuk belanja sekolah.

“Wang yang ada hanya cukup untuk tambang bas. Jika lapar di sekolah, saya akan minum air paip sebanyak mungkin. Saya hanya makan selepas pulang dari sekolah,” katanya.

Walaupun sekadar lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semangatnya untuk terus belajar tidak pernah padam.

Kini, kehidupannya lebih stabil selepas bergelar kontraktor elektrik.

Mengenai perancangan SELSDEAF untuk tahun 2025, Sarkunan berkongsi bahawa persatuan tersebut bercadang untuk memperkenalkan beberapa sukan baru bagi atlet pekak di Selangor, seperti renang, memanah, dan karate.

“Kami juga akan memperkukuhkan lagi sukan-sukan lain seperti olahraga, bola sepak, futsal, dan badminton,” ujarnya penuh semangat.

Show More

Related Articles

Back to top button