Liga Teqball Malaysia 2024 : DBKL Hunter pertahan gelaran juara
Kuala Lumpur – Liga Teqball Malaysia 2024, anjuran Persatuan Teqball Malaysia (MTA), bakal menyaksikan perlawanan antara pasukan Teqball tempatan dari 25 hingga 27 Oktober di Ortus Eight Arena, Kuala Lumpur.
Acara sukan itu bertujuan memperkukuh pembangunan Teqball di Malaysia serta mempamerkan bakat-bakat muda dan berpengalaman dalam suasana kompetitif.
Presiden Persatuan Teqball Malaysia, Siva Kumar Jakarathan berkata, Liga Teqball Malaysia 2024 adalah langkah penting dalam meningkatkan profil sukan itu.
“Kami berbesar hati dapat menganjurkan liga Teqball dan ianya memberikan peluang kepada atlet tempatan kita untuk bersinar di peringkat kebangsaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sokongan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Kementerian Belia dan Sukan {KBS) serta Federasi Teqball Antarabangsa (FITEQ) dan yakin masa depan Teqball di Malaysia semakin cerah.
Liga Teqball Malaysia 2024 merangkumi lima kategori pertandingan, iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Beregu Lelaki, Beregu Wanita, dan Beregu Campuran.
Manakala, juara bertahan DBKL Hunters edisi 2023 akan mempertahankan gelaran menentang pasukan-pasukan seperti Selangor Virtus, MBPJ Black Widow, N. Sembilan Stags, ICMS Titans, UM Bison, Melaka Mavericks dan Kilat KL Brighters.
MTA turut memberikan penghargaan kepada FITEQ (Federasi Teqball Antarabangsa) atas usaha mereka mempromosikan Teqball di peringkat global, menjadikannya sebahagian daripada Sukan SEA dan mungkin diiktiraf dalam Sukan Olimpik pada masa depan.
Teqball adalah sukan yang menggunakan meja melengkung khusus, dikenali sebagai meja Teq dan menggabungkan elemen ketepatan serta strategi.
Sejak diperkenalkan, Teqball berkembang pesat dengan kehadiran liga profesional dan kejohanan di peringkat dunia, mencetus fenomena antarabangsa serta menjadi perhatian ramai penggemar sukan.