Berita Semasa

KPDN senarai lapan barangan dalam skim kawalan harga sempena Deepavali

PUTRAJAYA – Lapan jenis barangan tersenarai dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Deepavali 2024 berkuat kuasa 28 Oktober hingga 3 November ini.

Barangan yang terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil (India) termasuk bawang ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SHMMP Deepavali 2024 ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat.

“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain.

“Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” katanya pada sidang media Pengumuman Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

Beliau berharap, semua pihak dapat mematuhi harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan dikawal harga.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMMP.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang boleh dikenakan penalti,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button