Jenayah & Mahkamah

Lelaki libas parang, rakan ditahan

Jiran minta alihkan kenderaan halang laluan

SUNGAI PETANI – Dua lelaki ditahan selepas salah seorang daripada mereka didakwa melibas parang kepada jiran setelah diminta mengalihkan kenderaan yang menghalang laluan di Taman Meriah, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, seorang mangsa berusia 63 tahun pergi ke rumah suspek yang terletak berhadapan rumahnya kira-kira pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, tujuan mangsa berbuat demikian kerana mahu meminta suspek mengubah dua kenderaan yang menghalang laluan lori sampah.

“Secara tiba-tiba beberapa suspek keluar membuat bising, dengan seorang daripadanya mengeluarkan parang dan melibas ke arah mangsa serta jiran lain sambil mengugut dengan kata-kata ‘tengoklah apa akan terjadi’.

“Suspek juga membaling kasut dan terkena pada mangsa,” katanya.

Disebabkan bimbang dengan tindakan suspek, mangsa dan penduduk perumahan itu terus melarikan diri, lalu membuat laporan polis dibuat berhubung kejadian atas dasar keselamatan.

Wan Azharudin berkata, siasatan dijalankan mendapati mangsa dan penduduk lain telah menetap di taman berkenaan sejak 30 tahun lalu namun suspek dikatakan baharu menyewa sejak tiga bulan lalu.

“Dua suspek ditahan berusia 35 dan 43 tahun dikesan positif dadah telah ditahan bersama barangan rampasan.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Show More

Related Articles

Back to top button