Berita Semasa

Mohamed Khaled nafi dakwaan usaha bantu, rawat rakyat Palestin untuk survival politik

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled menafikan dakwaan bahawa langkah kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke negara ini untuk rawatan didorong oleh survival politik.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Israel sejak berdekad-dekad lalu.

“Kerajaan mengecam tindakan ganas oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin, terutama dalam serangan di Gaza, sejak 7 Oktober tahun lalu.

“Atas dasar kemanusiaan dan solidariti dengan rakyat Palestin yang tidak bersalah, kerajaan mengambil inisiatif untuk membantu beberapa rakyat Palestin yang terjejas akibat peperangan dengan memberikan rawatan yang diperlukan, pembedahan, dan pemulihan.

“Misi kemanusiaan ini dilaksanakan berikutan kelumpuhan sistem penjagaan kesihatan di Gaza akibat serangan berterusan tentera Israel.

“Oleh itu, kerajaan percaya bahawa misi bantuan kemanusiaan ini untuk rakyat Palestin adalah usaha mulia yang harus disokong oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama, etnik, atau politik,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pekan,
Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang bertanya mengenai pendirian kerajaan terhadap sentimen ekstrem yang mempersoalkan usaha itu, dengan mengatakan bahawa tindakan tersebut bertujuan untuk survival politik.

Mengulas mengenai perkembangan terkini rawatan dan pemulihan rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia, Khaled berkata, setakat 6 Oktober lalu, seramai 37 rakyat Palestin yang dirawat sudah dibenarkan keluar dari wad, dan empat pesakit masih menjalani rawatan.

Katanya, sejak 16 Ogos lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah membawa 41 rakyat Palestin yang cedera bersama 86 ahli keluarga mereka ke Malaysia dan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di ‘Himpunan Pembebasan Palestin’ mengumumkan bahawa kerajaan akan memudahkan rawatan untuk rakyat Palestin yang cedera, khususnya wanita dan kanak-kanak, dengan membawa mereka ke Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button