Berita Semasa

KKM terus laksana advokasi beri kesedaran kepada orang ramai

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus melaksanakan operasi bersepadu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai 28 lokasi larangan merokok.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, rondaan lebih kerap akan dilaksana membabitkan lokasi hotspot yang sering mendapat aduan berkait isu rokok.

“Penguatkuasaan hari ini (malam tadi) melibatkan kawasan atau tempat larangan merokok dan premis jualan produk rokok serta rokok elektronik.

“Ini bagi mengurangkan kesan buruk amalan merokok yang berleluasa, termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

“Penguatkuasaan akta ini melibatkan beberapa aspek yang dikuatkuasakan secara serta merta dan juga secara berfasa,” katanya selepas memeriksa beberapa premis di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, di sini malam tadi.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 150 premis dikunjungi KKM menerusi operasi mega bersepadu di sekitar ibu negara dan Putrajaya.

Tambahnya, operasi yang dijalankan merupakan sebahagian daripada inisiatif advokasi pihaknya berhubung Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

Secara keseluruhannya, sebanyak 352 premis di sekitar ibu negara dan Putrajaya diperiksa sepanjang operasi penguatkuasaan berkenaan bermula 1 Oktober sehingga malam tadi.

“Sejumlah 33 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 telah dikeluarkan dengan nilai kompaun bernilai RM8,250 menerusi operasi harian dan berjadual.

“Sebanyak 18 notis membabitkan kedai makan, kompleks beli-belah (7 notis) dan perhentian awam (8 notis),” katanya lagi.

Dalam operasi sama, Norhayati turut mengedarkan tanda larangan merokok terkini yang memaparkan rokok tradisional dan rokok elektronik di 58 premis yang dilawati.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan oleh 133 anggota dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak polis.

Show More

Related Articles

Back to top button