Tiga kereta terbakar kemalangan di NKVE
KUALA LUMPUR – Tiga buah kereta terbakar dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 4.4 Lebuh Raya Klang Baru (NKVE) di Shah Alam, petang tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.38 petang.
Katanya, lima anggota dan pegawai bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelutong kemudiannya dikejarkan ke lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, terdapat tiga kenderaan terbakar melibatkan tiga mangsa di setiap kenderaan masing-masing. Semakan mendapati, dua daripadanya kereta jenis Proton Persona dan Audi musnah terbakar 100 peratus.
“Manakala sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger terbakar sebanyak 50 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa cedera, manakala status kecederaan mereka tidak diketahui kerana telah dihantar ke hospital sebelum pihaknya tiba di lokasi kejadian.