Berita Semasa

Peruntukan RM320 juta untuk tambah baik capaian internet yang lebih berkualiti – MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 dan menyifatkan peruntukan sebanyak RM320 juta untuk peningkatan capaian internet, mampu menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, peruntukan RM120 juta untuk penambahbaikan liputan internet di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) disasar dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lebih berkesan.

“Begitu juga peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar akan membantu meningkatkan capaian internet di sekolah desa dan
pedalaman seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, MCMC turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk
pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital.

“Pada masa yang sama, rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

“MCMC komited untuk merealisasikan hasrat Kerajaan dalam memastikan capaian internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button