Berita Semasa

Perak terima peruntukan RM1.06 juta untuk Komuniti Madani

IPOH – Perak telah menerima peruntukan sebanyak RM1.06 juta daripada Kementerian Komunikasi dalam tempoh setahun bagi menggerakkan Komuniti Madani di negeri itu

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, 177 Komuniti Madani telah ditubuhkan di seluruh Perak, melibatkan 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Antara kriteria penubuhan komuniti tersebut adalah komitmen daripada pemimpin tempatan, penyertaan masyarakat setempat, serta penglibatan pelbagai kaum, jantina dan umur.

“Setiap komuniti akan menerima geran pentadbiran sebanyak RM3,000. Bagi fasa satu dari bulan Mac hingga Jun 2024, sebanyak RM531,000 telah disalurkan dan menerima RM2,000 untuk Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (Jiwa) Komuniti Madani, manakala RM1,000 diperuntukkan di peringkat Parlimen,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Jalinan Mesra Komuniti Madani Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini hari ini.

Baki peruntukan akan disalurkan bagi fasa dua yang melibatkan bulan Julai hingga Oktober ini dengan pecahan jumlah yang sama. Difahamkan, sehingga 9 Oktober 2024, sebanyak 96 peratus daripada peruntukan telah dibelanjakan untuk pelaksanaan program.

Azlan berkata, Komuniti Madani berperanan sebagai platform utama dalam menyampaikan maklumat terkini serta sahih mengenai dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

“Komuniti itu memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, bukan hanya dalam menyampaikan maklumat tetapi juga dalam mendapatkan maklum balas untuk keperluan pembangunan,” katanya lagi

Beliau berharap kerjasama dari semua pihak dapat memperkukuhkan usaha penyaluran maklumat kerajaan hingga ke peringkat akar umbi.

Show More

Related Articles

Back to top button