Nilai pelaburan direalisasi di NCER meningkat 60 peratus – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Nilai pelaburan direalisasi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) meningkat kepada RM48.25 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, angka tersebut menunjukkan peningkat sebanyak 60 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas.
Perdana Menteri berkata, NCER juga menyaksikan 10,529 peluang pekerjaan baharu diwujudkan melalui pelaburan yang direalisasikan itu.
Kata Anwar dalam satu hantaran di akaun Facebook milik beliau, perkara tersebut dimaklumkan kepada beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Ke-32 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Parlimen, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Selain itu, kata Anwar, mesyuarat turut membincangkan inisiatif dalam menyokong ekosistem pelaburan di NCER, selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030, antaranya pembangunan pusat inovasi teknologi, hab agro makanan dan peralihan tenaga.
“Perancangan ini penting dalam usaha Kerajaan MADANI memastikan NCER berterusan dapat menarik pelaburan terkait industri strategik yang berimpak dan bernilai tinggi,” katanya lagi.