Nur Izzudin dedikasikan kemenangan Terbuka Artik buat isteri
KUALA LUMPUR – Pemain badminton beregu negara, Nur Izzudin Mohd Ramsani mendedikasikan kejayaannya merangkul kejuaraan Terbuka Artik di Finland kepada isterinya, Mawar Mutiara yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-27, kelmarin.
Nur Izzudin yang berpasangan dengan Goh Sze Fei mempamerkan aksi cemerlang selepas berjaya menumbangkan lawannya yang juga
gandingan nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19 pada aksi final.
“Syukur Alhamdulillah semua kejayaan ini datang daripada Dia (Allah).
“Kemenangan ini juga khas buat isteri saya yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-27,” katanya.
Untuk rekod, kejayaan berstatus Super 500 di Energia Areena, Vantaa itu adalah yang ketiga buat Nur Izzudin-Sze Fei yang sebelum ini menjuarai Terbuka China (Super 1000) bulan lalu dan Terbuka Jepun (Super 750) pada Ogos.
Nur Izzudin, 26, berkata, kejayaan yang diraih tersebut bukan mudah, tetapi perlu melalui saingan sukar dan sengit daripada lawan.
“Ia bermula di peringkat suku akhir sehingga ke final,” ujarnya.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pasangan nombor lapan dunia itu membawa pulang hadiah
berjumlah AS$33,180 (RM142,442).