Berita Semasa

Permohonan IJN naikkan yuran pesakit akan dibincangkan

KUALA LUMPUR – Permohonan Institut Jantung Negara (IJN) untuk menaikkan yuran ke atas pesakitnya sebanyak 10 hingga 40 peratus akan dibincangkan terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara itu akan dibincangkan antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan (MOF) dan IJN.

Jelasnya, KKM tidak mempunyai kuasa mempengaruhi yuran berkenaan kerana IJN bukan berada dibawah kuasanya.

“IJN di bawah MOF dan KKM adalah klien kepada IJN. Apa yang berlaku ketika ini adalah keputusan daripada pihak IJN.

“Kita akan berbincang dan memperhalusi apakah punca peningkatan kos atau bayaran yang mereka kenakan kepada pesakit,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen selepas pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diluluskan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib dilaporkan sebagai berkata, pihaknya memohon kenaikan antara 10 hingga 40 peratus dalam yuran yang dikenakan terhadap pesakit.

Dr Mohamed Ezani berkata, kajian semula terhadap struktur bayaran juga perlu dilaksanakan kerana ia tidak berubah sejak 21 tahun lalu dan kini mesti dikira dengan inflasi serta peningkatan kos.

Mengulas lanjut, Lukanisman turut menyifatkan permohonan peningkatan yuran yang dikemukakan oleh IJN itu akan memberikan impak kepada KKM.

“(Ini kerana) Kerana kita masih menghantar pesakit-pesakit yang dirujuk ke IJN,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button