Berita Semasa

Melaka negeri keempat keluarkan fatwa kepercayaan anggota GISBH sesat, tersasar dari Islam

AYER KEROH – Melaka menjadi negeri keempat yang mengeluarkan fatwa bahawa ajaran dan kepercayaan dalam GISB Holdings (GISBH) adalah sesat dan tersasar daripada ajaran Islam sebenar serta Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa Melaka itu dibuat selepas mendapati terdapat beberapa elemen ajaran dan kepercayaan pengikut dalam GISBH menyamai dengan amalan dalam kumpulan Al-Arqam yang diwartakan sesat pada 1994.

“Kita melihat ada amalan dalam GISBH menyamai dengan kegiatan Al-Arqam pimpinan Allahyarham Ashaari Muhamad yang mempunyai kefahaman, amalan dan wirid yang tidak jauh beza.

“Meski pun mereka menggunakan nama lain, tetapi ciri-ciri ajaran serta amalannya ada persamaan, khususnya daripada sudut kepercayaan, amalan, wirid dan juga pegangan (kepercayaan) mereka.

“Susulan itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan apa yang dibawa oleh kumpulan GISBH adalah bertentangan dengan hukum syarak. Justeru, kita sedang proses untuk tindakan selanjutnya iaitu membentangkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) seterusnya diangkat untuk mendapatkan perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka Sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, pihak berkuasa agama khususnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan memfokuskan kepada langkah pemulihan kepada ahli GISBH yang mungkin sukar untuk kembali kepada pangkal jalan.

Jawatankuasa Fatwa Melaka dalam laporan sebelum ini memaklumkan, beberapa lagi ajaran difatwakan sesat kerana menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Ajaran itu termasuk Ajaran dan Fahaman Irwan Bin Alias, Ajaran Suhaini Bin Mohammad atau Ajaran Si Hulk, Amalan Dan Kaedah Perubatan Encik Adam Bin Isa (Tabib Adam) serta Ajaran Risalah Bab Kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah).

Jawatankuasa itu turut menetapkan semua umat Islam di Melaka wajib mengamalkan ajaran Kewajipan Berpegang Dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Show More

Related Articles

Back to top button