Cadangan senaraikan Sze Fei-Nur Izzuddin dalam RTG dipertimbang – Hannah
KAJANG – Cadangan untuk menyenaraikan beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam Program Road to Gold (RTG) akan dipertimbangkan, kata Hannah Yeoh.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, perkara tersebut akan diusulkan dalam mesyuarat akan datang, memandangkan pasangan beregu berkenaan mempamerkan aksi cemerlang dalam beberapa kejohanan akhir-akhir ini.
Jelas Hannah, ia sekali gus menepati kriteria untuk disenaraikan dalam RTG iaitu berada di kelompok 10 terbaik dunia.
“Prestasi Sze Fei-Nur Izzuddin memang semakin meningkat dan saya ucapkan tahniah kepada mereka. Saya berharap mereka dapat teruskan konsistensi ini.
“Sekarang ini untuk RTG memang kedudukan 10 terbaik dunia dalam bidang sukan masing- masing, kita akan bantu mereka ke Sukan Olimpik.
“Saya kira dengan prestasi Sze Fei dan Nur Izzuddin ada harapan besar untuk kita masukkan dalam jawatankuasa RTG,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan beliau semasa Majlis Ramah Mesra Menteri Belia dan Sukan bersama peserta Program Rakan Muda: Skills For Life@AKBG di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang, di sini, hari ini.
Semalam, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya meraih kejuaraan ketiga mereka selepas memenangi acara beregu lelaki pada Terbuka Artik selepas menumbangkan beregu kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19.
Sementara itu, Hannah turut berharap agar peruntukan bagi kementeriannya ditambah menjelang pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.
Jelas Hannah, tambahan peruntukan itu penting bagi memastikan pelbagai program seperti Rakan Muda dapat diteruskan, selain fasiliti sukan sedia ada dapat dinaik taraf dan dibaik pulih.
“Hasrat saya untuk skop belia adalah penambahan bajet kerana program yang dijalankan ini dibawah inisiatif Rakan Muda dan kalau boleh saya juga ingin dapatkan lebih banyak bajet untuk naik taraf fasiliti sukan,” katanya.