Berita Semasa

Hari Sukan Negara: 10,000 sertai Larian Ria Madani, Berjalan untuk Negara

PUTRAJAYA – Lebih 10,000 menyertai Larian Ria Madani dan Berjalan untuk Negara anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena sambutan Hari Sukan Negara di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 30,000 pendaftaran direkodkan di Putrajaya sahaja, dengan jumlah keseluruhan penyertaan di seluruh negara mencecah 4.5 juta orang.

“Hari ini kita telah mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sukan merupakan salah satu gaya hidup yang kita ingin ketengahkan.

“Kita juga telah memperkenalkan inisiatif pelepasan cukai sebanyak RM1,000 untuk sukan. Kita sudah ada 103 jenis sukan yang telah diwartakan jadi tiada alasan untuk tidak bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Larian Ria Madani dan Berjalan untuk Negara sempena Sambutan Hari Sukan Negara di Putrajaya . – Foto Facebook Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Sambutan Hari Sukan Negara di Putrajaya hari ini menampilkan atlet negara seperti pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

Edisi Hari Sukan Negara 2024 menampilkan penganjuran 64 acara merangkumi aktiviti sukan dan rekreasi di peringkat kebangsaan yang turut
memberi fokus kepada penyertaan golongan wanita, warga emas, veteran, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Antara acara yang dianjurkan termasuk Fit Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 Larian Ria Madani, Berjalan untuk Negara dan Aerobik, Kejohanan E-sport, Karnival Sukan Warga Emas, Kemahiran Latihan Asas Sukan Renang, Karnival Sukan Warga Emas, Karnival Sukan OKU dan Kejohanan Bola Sepak Orang Kudung.

Show More

Related Articles

Back to top button