FINAS garis tiga langkah strategik tangani cetak rompak digital
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Teknikal Menangani Cetak Rompak Digital yang bersidang buat kali kedua di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Petaling Jaya, menggariskan tiga inisiatif baharu untuk membanteras isu cetak rompak digital yang semakin serius.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, tiga langkah utama yang akan diperkenal ialah pemantauan berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), penggunaan ‘watermark’ yang tidak kelihatan dan kempen kesedaran awam yang menekankan cetak rompak digital sebagai jenayah serius.
“Teknologi AI berpotensi besar dalam mengesan dan memantau sumber cetak rompak di pelbagai platform digital.
“Kami akan keluarkan kertas kerja dalam masa terdekat untuk meneroka kaedah penggunaan AI secara lebih terperinci,” katanya kepada BH Online.
Azmir turut menjelaskan pentingnya ‘watermark’ tidak kelihatan bagi memudahkan pengesanan sumber asal filem yang dicetak rompak.
Selain itu, FINAS merancang untuk mengeluarkan video khidmat pesanan masyarakat (PSA) bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya cetak rompak digital.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Cybersecurity Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta dua stesen penyiaran utama, Media Prima Berhad dan Astro.
Azmir berkata, mesyuarat bersetuju untuk menerbitkan dua video pendek PSA yang akan disiarkan di TV, pawagam serta platform media sosial.
“Kempen kesedaran itu akan dijalankan secara berterusan tahun ini dan selebriti juga dicadangkan untuk membantu menyebarkan kesedaran, kerana mereka juga terjejas akibat cetak rompak digital,” katanya lagi.
Beliau juga menyatakan sokongan daripada Media Prima dan Astro yang bakal menyiarkan filem-filem baru tidak lama lagi bagi membantu usaha kempen itu.
Mesyuarat turut mendedahkan bahawa platform Telegram menjadi cabaran terbesar dalam usaha menangani cetak rompak digital, berdasarkan laporan statistik yang menunjukkan sebanyak 55 pautan cetak rompak dikesan di Telegram, dengan hanya 30 pautan berjaya diturunkan setakat September tahun ini.
“Telegram mempunyai kemudahan muat naik kandungan berdurasi panjang dalam definisi tinggi (HD) tanpa had yang menjadikannya popular dalam kalangan penonton yang mencari kandungan tidak sah selain itu telegram tidak didaftarkan dan tiada pejabat rasmi, menyukarkan usaha pemantauan dan pengawalan,” katanya lagi.
Azmir turut berkata, SKMM merancang untuk memperkenalkan akta baharu yang memerlukan semua platform laman sembang, termasuk Telegram, berdaftar dengan SKMM mulai Januari tahun depan.
“Kita tunggu Januari sama ada Telegram akan mematuhi peraturan itu atau tidak. Walaupun ia bukan jaminan sepenuhnya untuk menghapuskan cetak rompak, langkah ini sekurang-kurangnya membolehkan kita mengesan sumber untuk dihubungi jika isu itu berterusan,” katanya.