Fahmi gesa penyedia perkhidmatan internet tawar pakej lebih murah
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menggesa agar penyedia perkhidmatan jalur lebar di negara ini menawarkan pakej internet yang lebih murah dengan kelajuan lebih tinggi kepada rakyat Malaysia.
Menurut Fahmi, menerusi program Point of Presence (PoP), beliau mendapati penyedia perkhidmatan mampu menawarkan pakej internet pada kadar yang sangat berpatutan, iaitu serendah RM39.
“Dalam program PoP, saya dapati ada penyedia perkhidmatan yang sediakan pada harga lebih kurang RM49 untuk 100Mbps, ada juga yang boleh sediakan hingga RM39
“Apabila kita usahakan melalui projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau PoP melalui Kementerian Komunikasi, wajar penyedia perkhidmatan berikan harga lebih murah kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband Program JENDELA Kementerian Pertahanan yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada majlis yang sama, Fahmi dan Khaled turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din turut menyerahkan MoU kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman sebagai tanda jalinan kerjasama strategik antara MCMC dengan ATM.
Dalam perkembangan yang sama, Fahmi berkata, kolaborasi antara Kementerian Komunikasi dengan MINDEF melalui ATM dan MCMC telah terjalin sejak 2022.
Fahmi berkata, pada tahun ini, pihak MCMC telah menjalankan libat urus untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di kem tentera terutamanya yang berada di kawasan luar bandar.
Katanya, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti sesi turun padang bersama ATM di Kem TLDM Lumut pada Mac dan bengkel perancangan liputan jalur lebar dengan penyedia perkhidmatan di Putrajaya pada Mei lalu.
“Hasil daripada bengkel yang telah diadakan, pihak ATM dan MCMC telah bersetuju untuk menambah baik liputan jalur lebar melalui pembangunan infrastruktur gentian optik yang dikenali sebagai Fibre to the Home (FTTH) di 73 buah kem tentera terpilih di seluruh Malaysia khususnya di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Inisiatif ini bagi memberikan impak signifikan dalam mempermudah urusan harian, termasuk aspek pendidikan, komunikasi, serta keselesaan hidup keluarga tentera,” katanya.