Berita Semasa

Lebih 1,000 iringi pengebumian Ustaz Nurul Kamal

SERI ISKANDAR – Lebih 1,000 jemaah hadir di Masjid As-Siddiq hari ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Ustaz Nurul Kamal Zulkarnain yang terkorban dalam kemalangan di KM 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah Utara, berhampiran Sitiawan, semalam.

Solat jenazah yang dipimpin oleh Bendahari Masjid, Ustaz Hamdi Rahman Mohd Yaacob itu turut disertai ahli kariah, pelajar tahfiz, keluarga serta kenalan Allahyarham.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Seri Iskandar dan selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir adalah kembar Allahyarham, Nurul Anuar juga seorang guru di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pulau Pangkor dan Imam Masjid Seribu Selawat Pulau Pangkor.

Pengerusi Masjid As-Siddiq, Azmi Murad Mohamad Yusof menyifatkan pemergian Nurul Kamal yang berkhidmat sebagai Imam Utama dan Pengerusi Biro Dakwah, sebagai satu kehilangan besar buat masjid tersebut.

“Sejak dilantik sebagai ahli jawatankuasa pada 2015, arwah banyak memperkenalkan program yang menghidupkan masjid antaranya Rakan Belia Masjid dan kelas mengaji untuk golongan muda.

“Arwah juga mencetuskan idea untuk mengadakan kuliah selepas solat Maghrib dan Subuh, sesuatu yang tidak pernah diadakan disini.

“Sumbangan arwah sangat besar dan kita dapat lihat sendiri betapa ramai yang hadir untuk solat jenazah tadi, masjid penuh seperti solat Jumaat, menandakan betapa ramai yang menyayanginya,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Kemalangan berlaku sekitar pukul 4.30 petang semalam apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara yang dipandu Allahyarham terbabas dan terbalik di kawasan ladang kelapa sawit di KM 211.8 Lebuhraya WCE arah Utara, berhampiran Sitiawan.

Show More

Related Articles

Back to top button