Berita Semasa

Ismail Sabri gesa pembinaan litar drag diteruskan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan meneruskan perancangan membina litar drag seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 oleh kerajaan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, ini kerana tujuan utama pembinaan litar drag ini adalah untuk menghindarkan golongan muda daripada terlibat dengan budaya tidak sihat

“Pihak kerajaan seharusnya melihat secara mendalam tujuan sebenar pembinaan litar drag ini dan bukannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya dengan memberikan pelbagai alasan.

“Tujuan utama pembinaan litar drag ini adalah untuk menghindarkan golongan muda daripada terlibat dengan budaya tidak sihat seperti perlumbaan haram, samseng jalanan dan melepak dengan menyediakan tempat untuk mereka beriadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Belia dan Sukan kelmarin menegaskan keputusan untuk tidak meneruskan perancangan membina litar drag dibuat susulan tiada peruntukan sebanyak RM20 juta seperti dibentangkan dalam belanjawan tersebut kerana Parlimen dibubarkan sejurus itu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sekiranya kerajaan memikirkan peruntukan sebanyak RM20 juta tidak mencukupi, jumlah tersebut boleh ditambah pada tahun berikutnya sehingga litar drag ini dapat dibina seluruh negeri.

Bagaimanapun katanya, peruntukan sebanyak RM20 juta itu memadai sebagai dana awal melaksanakan program ini.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa pembinaan litar drag mempunyai
impak yang besar dalam menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih dan melahirkan bakat baharu tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sukan permotoran mempunyai minat yang tinggi dalam kalangan belia dan jelas kelihatan sewaktu saya menghadiri Program RXZ Members 4.0 di Gong Badak pada tahun lepas dengan kehadiran puluhan ribu anak muda dari seluruh negara.

“Ini menunjukkan sukan permotoran mempunyai potensi yang baik. Saya juga berpendapat adalah ideal jika pembinaan litar drag ini dapat dilaksanakan di setiap daerah agar program ini dapat melibatkan seluruh belia termasuk mereka yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button