Berita Semasa

Kes GISBH: JKM beri perlindungan kepada 662 kanak-kanak – Fahmi

PUTRAJAYA – 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata, mahkamah telah mengeluarkan perintah agar kanak-kanak terbabit diberikan perlindungan dibawah JKM.

“Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberi sedikit maklumat tambahan dan terkini mengenai jumlah kanak-kanak diselamatkan.

“Kesemuanya adalah seramai 662 kanak-kanak yang telah diselamatkan melalui beberapa operasi yang telah berjalan, kini telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan, itu terkini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Fahmi menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Pada 10 September lalu, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.

Ditanya mengenai isu fatwa berkaitan amalan GISBH, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, mesyuarat m tidak membincangkan isu terbabit.

Walau bagaimanapun, Fahmi meminta orang ramai agar merujuk fatwa yang telah dikeluarkan oleh mufti di negeri masing-masing terhadap GISBH.

“Terdapat beberapa mufti sudah mengeluarkan, menerbitkan fatwa di mana ajaran terbabit disahkan sesat.

“Tapi untuk maklumat lanjut dalam isu ini boleh rujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)” katanya.

Sebagai rekod, Perlis, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan mengeluarkan fatwa bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Show More

Related Articles

Back to top button