Belanjawan 2025 perkenal lebih banyak pembaikan struktur ekonomi
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan lebih banyak pembaikan kepada struktur ekonomi akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025.
Menurut Perdana Menteri, ia adalah bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat ini dapat dikongsi dengan rakyat secara saksama.
“Belanjawan 2025 merupakan kesinambungan kepada ikhtiar Kerajaan agar Malaysia dapat menggapai wawasan kerangka Ekonomi Madani.
“Yakni, melonjakkan pertumbuhan negara dan sekali gus menjunjung prinsip manusiawi untuk mengangkat darjat rakyat terbanyak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri telah
menandatangani dokumen rasmi Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan, semalam.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada semua tenaga kerja yang telah bertungkus-lumus untuk merangka Belanjawan 2025,” kata Perdana Menteri lagi.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.