Ahli GISBH lakukan penderaan didakwa di Mahkamah Selayang esok
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, esok atas tuduhan mendera kanak-kanak di bawah jagaan salah satu rumah amal yang dinaungi Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu kepada Buletin TV3 hari ini.
Katanya, kertas siasatan ke atas penjaga rumah amal berusia 35 tahun yang juga ahli GISBH itu telah dihantar ke pejabat Peguam Negara hari ini dan menerima arahan untuk pertuduhan.
“Lelaki itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Pada 1 1 September lalu, polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISB di Selangor dan Negeri Sembilan dan menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Razarudin yang mengadakan sidang media mengenai perkara itu di Kuantan, Pahang mendedahkan keseluruhan 392 individu lelaki dan perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 10 kanak-kanak merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme yang diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas saringan dibuat.
Sementara itu, Razarudin memaklumkan satu jemputan media mengenai pertuduhan ke atas suspek sudah dikeluarkan Bukit Aman, hari ini.
Menurut jemputan itu, pendakwaan kes berkenaan akan bermula pada jam 8.45 pagi.