Berita SemasaDalam Negeri

Dua produk kosmetik dikesan mengandungi racun – KKM

KUALA LUMPUR – Dua produk kosmetik disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengandungi racun berjadual iaitu kandungan merkuri yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

KKM dalam satu kenyataan di media sosial hari ini memaklumkan arahan larangan penjualan dan penggunaan dua produk berkenaan iaitu Snow White Treatment Cream dan Kak Ell Krim Rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik terbabit dengan serta-merta.

“Ia boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan. Ia juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan pada kulit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua produk yang disahkan mengandungi racun berjadual oleh KKM.

Sehubungan itu katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” tegasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button