Jenayah & Mahkamah

Pesara Felcra hilang lebih 3 minggu lalu mati dibunuh

ALOR SETAR – Pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dilaporkan hilang lebih tiga minggu disahkan maut selepas polis memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat membunuh mangsa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam kejadian itu, Sabari dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.

“Ekoran perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan memberkas dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap. Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang melibatkan mangsa kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis juga telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Sebaliknya orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button