Berita Semasa

Penggunaan spektrum, frekuensi berbeza dikaji atasi masalah liputan dalam bangunan

SEOUL – Malaysia akan mengkaji penggunaan spektrum dan frekuensi yang berbeza seperti digunakan di Korea Selatan bagi mengatasi masalah liputan internet dalam bangunan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, keberkesanan kaedah itu telah dibuktikan di Korea Selatan yang turut menghadapi masalah sama sebelum ini.

“Saya baru saja menerima taklimat daripada pihak LG U+ berkait penggunaan spektrum dan frekuensi yang berbeza seperti digunakan di Korea Selatan bagi mengatasi masalah liputan internet dalam bangunan.

“Keberkesanan kaedah tersebut telah dibuktikan di Korea Selatan yang menghadapi masalah sama sebelum ini.

“Mereka memaklumkan penyelesaian yang melibatkan satu frekuensi, satu spektrum, jadi saya minta MCMC teliti dapatan dan pandangan daripada pihak LG U+,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif LG U+ Johan Sue-hyun Chung dan pegawai kanan syarikat telekomunikasi itu, serta mendengar taklimat berhubung status liputan rangkaian 5G di Korea Selatan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng.

Fahmi berkata, sekiranya sesuai dan boleh dimanfaatkan di Malaysia, pihaknya akan mengusahakan “proof-of-concept”.

“Seperkara lagi yang menarik adalah aplikasi kecerdasaan buatan (AI) yang dibangunkan LG U+ untuk membantu pengguna menjawab panggilan telefon, selain mengesan sekiranya panggilan tersebut mempunyai unsur-unsur penipuan (scam).

“Ini antara teknologi terbaharu yang boleh dipelajari oleh Malaysia dalam pada kita meningkatkan keselamatan pengguna,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button