AmRencana

Portugal kini ‘syurga’ baharu pekerja warga Bangladesh

PENULIS baru-baru ini berpeluang bercuti di Lisbon, Portugal, selama lima hari selepas memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh Sacoor Brothers, jenama pakaian antarabangsa berasal dari negara itu.

Sepanjang percutian tersebut, penulis sempat menyaksikan sendiri bagaimana warga Bangladesh memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi Portugal, terutamanya dalam sektor perniagaan kecil dan perkhidmatan.

Salah satu faktor utama yang menarik mereka ke Portugal ialah kelonggaran dalam mendapatkan taraf kewarganegaraan, menjadikan negara ini pilihan menarik untuk mencari rezeki dan membina kehidupan baru.

Dianggarkan kira-kira 3,000 orang Bangladesh telah berjaya memperoleh taraf kewarganegaraan di Portugal dan angka ini dikatakan terus meningkat.

Ramai warga Bangladesh telah berjaya menguasai pelbagai sektor di Portugal, termasuk industri makanan halal, perniagaan kedai cenderahati serta perkhidmatan pemandu Uber.

Dalam temubual bersama beberapa individu, Muhammad, Haidar dan Abdul yang kini memandu Uber di Lisbon, mereka berkongsi bahawa kehidupan di Portugal menawarkan peluang lebih baik berbanding di negara asal mereka.

Mereka menyebut bahawa dengan kerja keras, mereka mampu menyara keluarga di Portugal dan Bangladesh.

Abdul Shakur, yang dahulunya bekerja di Berjaya Steel di Nilai 3, Negeri Sembilan, kini memilih untuk berniaga cenderahati di Portugal.

Menurut beliau, meskipun persaingan perniagaan sengit, kebebasan untuk berniaga dan permintaan yang semakin meningkat dalam sektor pelancongan memberi peluang besar untuk berjaya.

Faktor ini juga memberi kesan besar kepada tenaga kerja global, khususnya di negara-negara seperti Malaysia yang mungkin akan kehilangan tenaga kerja mahir.

Warga Bangladesh yang kini menjadi tenaga kerja penting dalam sektor perniagaan kecil dan perkhidmatan.

 

Kecenderungan tenaga kerja Bangladesh berhijrah ke negara Eropah itu dijamin na peluang ekonomi yang lebih baik memberi amaran kepada negara-negara lain tentang kehilangan sumber tenaga kerja.

Persoalan timbul, adakah suatu hari nanti warganegara kita akan bersikap agresif seperti orang Bangladesh dalam mencari rezeki di luar negara?

Warga Bangladesh terkenal dengan ketekunan dan semangat kerja keras mereka. Mereka sanggup meninggalkan tanah air dan keluarga demi mencari kehidupan yang lebih baik di negara-negara asing.

Mereka bukan sahaja bertahan dalam pelbagai cabaran tetapi juga berjaya dalam sektor-sektor penting seperti makanan halal, pengangkutan, dan perniagaan kecil di negara-negara seperti Portugal.

Lisbon yang merupakan ibu kota Portugal kini mempunyai lebih daripada setengah juta penduduk.

Secara tradisinya, warga Malaysia lebih cenderung untuk mencari pekerjaan di dalam negara atau di negara-negara jiran seperti Singapura.

Namun, jika peluang pekerjaan dan ekonomi di Malaysia terus berkurangan, kita mungkin akan melihat lebih ramai rakyat Malaysia yang berani mengambil risiko dan berhijrah ke luar negara untuk mencari peluang yang lebih baik.

Sama ada mereka akan menjadi seagresif warga Bangladesh atau tidak, ia bergantung kepada keperluan, budaya dan insentif yang ditawarkan di negara luar.

Sekiranya keadaan ekonomi global terus berubah dan peluang di luar negara semakin menarik, tidak mustahil suatu hari nanti warganegara kita akan menjadi lebih aktif dalam meneroka peluang di negara-negara asing, sebagaimana yang dilakukan oleh warga Bangladesh di Portugal hari ini.

Rahimi Abd Karim,

Aktivis Masyarakat.

Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button