Berita Semasa

Penamatan khidmat KP JKOM adalah perkara biasa – Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Mohd Khairuddin Othman disahkan telah ditamatkan perkhidmatannya, semalam.

Perkara tersebut disahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang menyifatkan penamatan perkhidmatan itu adalah perkara biasa dalam penjawatan kontrak.

“Dalam jawatan kontrak, mana-mana pelantikan dan penamatan ada prosesnya. Pelantikan dan penamatan adalah perkara biasa, ia berpandukan proses saya sebutkan tadi, jadi ia adalah teratur.

“Pada waktu ini, tugasnya dipangku,” katanya dalam satu sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet di bangunan kementeriannya hari ini.

Ditanya mengenai punca penamatan perkhidmatan itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai enggan mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.

Semalam, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu mengesahkan telah menerima surat penamatan jawatan berkenaan.

Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM sejak 1 Mac, bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.

Show More

Related Articles

Back to top button