Pejuang al-Quran, Ustaz Safri meninggal dunia
KLANG – Ketua Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Safri Muhammad, 48, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.50 malam semalam selepas dimasukkan ke Hospital Klang.
Memetik laporan Sinar Online, menurut isterinya, Rusamiah Ismail, 51, Allahyarham Safri dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit gigi yang teruk dan pitam.
“Keadaan kesihatannya mula merosot dan mengalami batuk menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk menidurkannya jam 5 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ujarnya, doktor mengesahkan jantung arwah terhenti dan pihak hospital terpaksa melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebanyak lima kali sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, Allahyarham yang berasal dari Medan, Indonesia turut meninggalkan tiga orang anak berusia 15 hingga 20 tahun.
Beliau sebelum ini bertanggungjawab ke atas kajian My #QuranTime 1.0 dan 2.0 yang disiarkan di tiga stesen TV sejak tahun 2020 dan mengajar kelas bahasa Arab dan al-Quran di Kumpulan Karangkraf sejak tahun 2014.
Pada Sabtu lalu, Allahyarham terlibat dalam program Wellness #QuranHour di Masjid Darul Ehsan, SS 15 Subang Jaya.