Dua beradik maut langgar tong ‘roro’ dalam perjalanan ziarah kubur bapa
MELAKA – Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh tong sampah roro di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) dalam satu kejadian tragis semalam.
Kejadian pada pukul 6.15 petang itu menyebabkan Muhammad Amirul Hazlin, 18 dan adik bongsunya, Nur Afiqah Sofea Hazlin, 5, meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka.
Difahamkan, kedua-dua mereka dalam perjalanan untuk menziarahi kubur bapa mereka di Bertam Hulu sebelum merancang untuk menikmati makan malam bersama keluarga.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan bahawa Muhammad Amirul yang menunggang motosikal jenis Demak DV110 bersama adiknya dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
“Hasil siasatan awal menunjukkan penunggang motosikal dipercayai tidak menyedari keberadaan sebuah tong sampah roro di bahu jalan, yang menyebabkan mereka melanggar objek tersebut,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka.
Muhammad Amirul disahkan meninggal dunia pada pukul 7.40 malam, manakala adiknya, Nur Afiqah Sofea pada pukul 12.30 tengah malam.
Mayat kedua-dua beradik dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik untuk proses bedah siasat.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.