Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Pemandu, kelindan maut rempuh treler berhenti tepi lebuh raya

MANJUNG – Seorang pemandu lori dan kelindannya maut selepas lori yang dinaiki mereka merempuh sebuah treler di Kilometer 202 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah ke selatan dekat Setiawan di sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang dikenali sebagai Razali Sahad, 48, dan Muhammad Alizzat Narayi, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.

Beliau berkata, mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan selepas menerima panggilan kecemasan nahas itu pada jam 3.33 pagi.

“Maklumat awal diterima, pelanggaran berlaku semasa treler terbabit memberhentikan kenderaan di tepi jalan selepas susur keluar tol,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat pada jam 6.05 pagi,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button