‘Counter Setting’: Pengarah syarikat warga Bangladesh direman SPRM
PUTRAJAYA – Seorang lagi pengarah syarikat warganegara Bangladesh yang disyaki menjadi ejen sindiket ‘Counter Setting’ dengan memberi rasuah kepada pegawai peguat kuasa ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama dua hari selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah.
Kata sumber, penahanan tersebut adalah susulan tangkapan yang dilakukan sebelum ini.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai seorang ejen serta menjadi orang tengah dan telah melakukan kesalahan tersebut di antara tahun 2022 hingga 2024.
“Suspek telah ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh SPRM sekitar Lembah Klang pada jam 8 malam semalam, ” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.