Berita SemasaJom Ronda

Lebih 300 sukarelawan sertai program bersihkan Pulau Rusukan Besar

LABUAN – Lebih 300 sukarelawan telah berjaya melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membersihkan dan mengindahkan Pulau Rusukan Besar di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata, program itu yang dianjurkan pihaknya bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa memberi fokus kepada aspek kebersihan demi memajukan industri pelancongan Labuan.

“Program ini diadakan secara bersiri sebanyak tiga kali, dua siri pertama melibatkan 70 sukarelawan yang menjalankan kerja-kerja pembaikan struktur dan pembersihan pulau.

“Mereka juga terlibat dalam membaiki fasiliti sedia ada seperti anjung tinjau, jeti, tandas, ruang makan, dan melukis mural hiasan,” katanya kepada pemberita.

Program CSR ini turut melibatkan penglibatan sukarelawan daripada Kelab Media Putrajaya (KMP), Kolej Matrikulasi Labuan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

Siri terakhir program itu yang berlangsung pada 27 dan 28 September, melibatkan sentuhan terakhir oleh penggiat media.

Aktiviti itu turut memfokuskan kepada promosi dan publisiti melalui rakaman kandungan digital berkaitan Wilayah Persekutuan Labuan dan keindahan Pulau Rusukan Besar.

Dalam pada itu katanya, melalui aktiviti seperti ini, ia dapat mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kecantikan Pulau Rusukan Besar.

Beliau turut menambah bahawa usaha itu bukan sahaja bermanfaat untuk operator tempatan dan penjaja setempat, tetapi juga kepada komuniti Labuan secara keseluruhan.

“Keindahan pulau ini harus dijaga supaya terus kekal bersih dan vibran, serta menjadi destinasi pelancongan pulau pertama dalam lingkaran Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA).

Sementara itu Pengerusi KMP, Wan Zairul Azri Mohammad Sudin menyatakan bahawa program ini memberi peluang kepada para pengamal media untuk mengetengahkan maklumat mengenai Labuan kepada orang ramai melalui pelbagai medium, termasuk media cetak, elektronik, dan sosial media.

“Melalui program kali ini, pengamal media dapat menghasilkan video dan kandungan menarik mengenai Labuan. Ini bukan sahaja membantu dalam menyebar luas maklumat, malah turut menonjolkan daya tarikan Labuan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau juga berharap usaha ini akan membolehkan orang ramai untuk lebih mengenali Labuan sebagai Mutiara Borneo.

Show More

Related Articles

Back to top button