Kerajaan negeri digesa jayakan hasrat kerajaan modenkan pentadbiran tanah
PUTRAJAYA – Kerajaan negeri digesa untuk turut sama menjayakan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam memodenkan pentadbiran tanah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting memandangkan ia antaranya menjadi kayu ukur dalam penilaian Bank Dunia serta meningkatkan kecekapan tadbir urus demi kepuasan rakyat dan pelabur.
“Saya tekankan kepentingan melipat gandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan semata-mata dalam mencapai matlamat negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri hari ini telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-81 iaitu platform untuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri merundingi dasar berkaitan pentadbiran tanah.
Kata Perdana Menteri, mesyuarat itu menjadi antara pemangkin kepada konsep Kerajaan Madani yang mengupas keperluan rakyat dari aspek pertumbuhan ekonomi serta tatakelola yang berkesan.
Dalam mesyuarat itu, Anwar telah meminta persefahaman dan pemuafakatan kerajaan negeri untuk mengimbangi antara keutamaan negeri dengan dasar di peringkat Persekutuan supaya ia selaras dengan komitmen kerajaan di peringkat antarabangsa.
“Antaranya terkait iltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan kawasan berhutan sebagai langkah adaptasi dan mitigasi bagi mengimbangi kesan perubahan iklim serta pemuliharaan biodiversiti.
“Selain itu, saya turut tekankan kepentingan melipat gandakan produktiviti guna tanah dan tidak hanya bergantung kepada keluasan kawasan semata-mata dalam mencapai matlamat negara,” ujarnya.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, mesyuarat turut menerima baik segala pandangan amalan terbaik yang turut dikongsi oleh kerajaan negeri.