Luar Negara

Pendaki Malaysia cedera ketika daki Gunung Rinjani

LOMBOK TIMUR – Seorang pendaki warga Malaysia dilaporkan cedera, semalam setelah terjatuh dari tebing setinggi 10 meter berhampiran Jambatan Pos 2 Tengengean Sembalun, Gunung Rinjani, Lombok Timur di Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia.

Laporan portal detikBali yang memetik kenyataan jurucakap pihak berkuasa berkata, mangsa dikenali sebagai Mohammad Hafidz.

“Kejadian berlaku ketika mangsa mendaki bersama rakannya, semalam.

“Ketika melalui Pos 2 jalur pendakian Sembalun, Hafidz dipercayai telah tergelincir sebelum terjatuh kerana mahu mengelakkan malim gunung yang sedang berada di laluan sama,” kata jurucakap, Wahyu Indrawan kepada detikBali.

Menurut Wahyu lagi, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pelipis, leher, punggung dan pergelangan kaki kanannya.

“Dia masih tidak boleh berjalan kerana kaki yang cedera. Pemeriksaan yang dilakukan ke atasnya juga mendapati Hafidz tidak mengalami patah tulang atau kecederaan yang serius. Dia kini dirawat di Puskesmas Sembalun,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button