Kerajaan komited terus angkat industri halal negara – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk terus mengangkat industri halal sebagai antara penyumbang utama ekonomi Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, usaha mengangkat industri halal itu boleh dilaksanakan
khususnya dengan memastikan produk dan pensijilan halal negara berjaya menembusi ke peringkat antarabangsa.
“Dalam setiap pertemuan saya dengan pemimpin negara luar, pastinya agenda berkaitan ekosistem pembangunan industri halal akan menjadi antara fokus utama perbincangan, sekali gus membuktikan pengiktirafan dunia terhadap prospek dan kualiti industri halal negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook miliknya selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 edisi ke-20 hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pameran halal antarabangsa itu disertai lebih 2,000 pempamer dari 66 buah negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan atas pencapaian hebat MIHAS 2023 yang telah diiktiraf sebagai The Largest Attendance of a Halal Trade Show oleh Guinness World Records dengan catatan kehadiran seramai 38,566 pengunjung pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, industri halal yang diterajui Malaysia telah jauh melangkaui kefahaman tradisional.
“Industri halal bahkan diperluas meliputi keseluruhan ekosistem hingga menyantuni setiap lapisan rakyat sama ada petani, nelayan, pengusaha kecil atau peniaga besar selaras tuntutan Maqasid Syariah,” tambahnya.