Kalamullah Al-Hafiz tinggalkan KDA FC secara persetujuan bersama
KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan penjaga gol utamanya, Kalamullah Al-Hafiz ditamatkan kontrak secara persetujuan bersama dengan kelab bola sepak itu.
KDA FC dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil selepas perbincangan mendalam diadakan bersama barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab.
“Dalam keadaan yang cukup sukar ini, kehilangan Kalamullah Al-Hafiz di kemuncak kerjaya, dalam prestasi antara penjaga gol terbaik Harimau Malaya.
“Keputusan yang diambil oleh pemain ini dan pengurusan tidaklah mudah, namun situasi semasa Sang Kenari, ini adalah keputusan terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
KDA FC berkata, Kalamullah bangkit dan mempamerkan prestasi yang cukup baik di kala pasukan masih terumbang ambing mencari rentak awal musim ini, seterusnya membantu pasukan layak ke peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024/25 baru-baru ini.
“Dimana sahaja anda berada, ingatlah Kalamullah, selamanya Sang Kenari.
“Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti beliau selama mewakili Sang Kenari dan mendoakan kerjaya beliau terus maju bersama pasukan baharu,” tambahnya dalam kenyataan itu.