Kementerian Komunikasi umum dana kreatif RM17.5 juta
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fadhmi Fadzil hari ini mengumumkan peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sektor Filem dan Industri Muzik berjumlah RM17.5 juta dalam usaha kerajaan membangunkan industri kreatif negara yang lebih berdaya saing.
Pengumuman itu dibuat pada Sesi Sembang Santai bersama Penggiat Industri Kreatif Negeri Sabah dan Sarawak di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah hari ini.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan memaklumkan menterinya mengumumkan empat kategori DKK Sektor Filem yang ditawarkan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Dana tersebut adalah Dana Pembangunan Skrip, Dana First Time Amateur Film Maker, Dana Co-Pro Filem Cereka dan Dokumentari serta Dana Dokumentari bermula pada 16 September 2024.
Empat kategori DKK Industri Muzik melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCV) pula telah dibuka pada 26 Julai hingga 30 September 2024 melibatkan Dana Muzik Malayseana (Dana Cipta Karya), Dana Irama Perpaduan (Dana Cipta Karya), Dana Gig MADANI (Dana Persembahan Muzik) dan Dana Kandungan Aneka Muzik Interaktif (KAMI).
Sementara itu, dua lagi kategori DKK Industri Muzik iaitu Dana Permata Muzik Negara dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa dibuka sepanjang 2024 kepada penggiat industri yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Permohonan DKK Sektor Filem dibuka secara dalam talian melalui pautan https://sppik.finas.my/ menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) manakala permohonan DKK Industri Muzik adalah melalui laman sesawang www.mycreative.com.my/grants kepada penggiat industri kreatif yang berkelayakan.
Penerima akan dipilih berdasarkan merit dan keboleh laksanaan permohonan, selain keboleh pasaran yang mampu mengembangkan ekosistem industri kreatif negara.