‘Inspektor Sheila’ digantung kerja
KUALA LUMPUR – Pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ sudah digantung kerja sejak minggu lalu susulan beberapa siri kekecohan yang menjadi tular di media sosial.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Pihak polis, kata Saifuddin, mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.
“Jadi kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, beberapa video yang memaparkan individu tersebut mencetuskan kekecohan di beberapa lokasi, difahamkan pada tarikh yang berbeza, menjadi tular di media sosial.