Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tukar keputusan kimia kes dadah, tiga termasuk dua penguatkuasa direman SPRM

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman tiga indvidu termasuk dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM30,000 sebagai balasan menukar keputusan laporan kimia melibatkan dua kes siasatan atas kesalahan narkotik.

Perintah reman selama empat hari terhadap kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Menurut sumber, suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang wanita itu ditahan sekitar pukul 9 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.

“Dua suspek utama yang merupakan pegawai penguat kuasa dipercayai masing-masing menerima rasuah berjumlah kira-kira RM15,000 sebagai balasan untuk menukar keputusan laporan kimia melibatkan dua kes siasatan narkotik yang berbeza.

“Suspek disyaki menerima rasuah secara berasingan melalui transaksi pindahan wang yang berlaku pada 2021 dan 2022 ke akaun milik suspek daripada akaun bank suspek ketiga yang ditahan kerana disyaki turut bersubahat meminta dan menerima rasuah bagi pihak suspek utama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button