Jenayah & Mahkamah

Kes rasuah: Muhyiddin dukacita permohonan ditolak Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa dukacita selepas permohonannya untuk mencabar keputusan yang mengarahkan kes salah guna kuasa program Jana Wibawa yang dihadapinya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditolak Mahkamah Rayuan sebentar tadi.

“Rasa dukacita dengan keputusan yang telah diumumkan oleh hakim sebentar tadi,” kata bekas Perdana Menteri itu secara ringkas dalam satu sidang media di perkarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sekali gus mengekalkan empat tuduhan salah guna kuasa yang dihadapinya.

Keputusan itu dibuat panel lima hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Presiden Bersatu itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi partinya.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Show More

Related Articles

Back to top button