Jenayah & Mahkamah

Jumpa pistol, dadah: Yusoff Rawther ditahan reman

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther ditahan polis selepas dua pucuk pistol dan dadah ditemui dalam kenderaan dinaikinya.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Muhammed Yusoff telah menyatakan secara jelas kepada pihak berkuasa bahawa pistol dan 305 gram dadah disyaki ganja bukan miliknya dan tiada kena mengena dengan barangan terlarang tersebut.

“Ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya.

Muhammad Rafique berkata, anak guamnya juga telah menyatakan dalam rakaman percakapan bahawa pistol dan dadah tersebut diletakkan dalam keretanya sebagai perangkap oleh pihak yang didakwa mempunyai dendam atau permusuhan dengan beliau.

“Mereka yang Muhammed Yusoff maksudkan telah pun dibekalkan nama serta kaitan penama-penama tersebut dengan pimpinan politik negara.

“Pihak polis juga telah dimohon oleh Muhammed Yusoff serta peguam untuk dibenar membuat laporan polis mengenai perkara ini.

“Surat berkaitan telah pun diutus,” kata Muhammad Rafique.

Katanya, keperluan membuat laporan polis itu adalah supaya pembelaan Muhammed Yusoff dimajukan pada seawal mungkin agar ianya tidak dilabel ‘afterthought’ atau rekaan.

“Muhammed Yusoff yang ketika ini berada dalam tempoh tahanan reman sejak Jumaat lalu turut menyuarakan kebimbangan mengenai beliau apatah lagi kes-kes sivil beliau terkait dengan individu-individu berpengaruh masih berjalan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan itu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Permohonan reman dibenarkan selama enam hari bermula 7 September sehingga esok,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button