31 pelajar keracunan makanan, Pengerusi MARA terjah MRSM Taiping
TAIPING – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kecewa apabila pengendali dewan selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping di sini tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.
Beliau berkata, kesalahan itu dikesan ketika meninjau keadaan penyediaan makanan di sini setelah menerima laporan berhubung kes keracunan makanan yang melibatkan seramai 31 orang pelajar pada 30 Ogos lalu sehingga ada yang terpaksa dikejarkan ke hospital.
“Ketika terjahan dilakukan, saya dapati beberapa perkara yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh MARA antaranya pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian yang ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap yang tidak memuaskan.
“Rupa-rupanya ini bukan kes pertama yang berlaku, ketika berjumpa dengan pelajar-pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan ini, mereka memaklumkan bahawa tahun lepas juga seramai 50 orang terkesan dengan isu keracunan makanan ini pada Oktober lepas.
“Juga mereka berkongsi kepada saya gambar-gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.
Dalam pada itu Asyraf menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara itu dan tegas terhadap isu yang melibatkan kesihatan pelajar.
“Saya memberi tempoh kepada pengusaha dewan makan ini sehingga esok untuk menyelesaikan isu-isu ini atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.
“Kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titik beratkan dan tiada kompromi dalam hal ini.
“Selagi saya menjadi Pengerusi MARA, saya akan pastikan perkara-perkara ini diambil berat oleh pegawai-pegawai MARA demi kebajikan dan keselesaan anak-anak MRSM,” katanya.