2 lagi pusat jagaan Baitul Mahabbah akan dibuka
TANAH MERAH – Dua buah lagi pusat jagaan Baitul Mahabbah yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen khusus untuk kanak-kanak warga asing berumur di bawah 10 tahun akan dibuka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lokasi pusat itu ialah di Kedah dan Johor.
“Setakat ini, kita ada empat Baitul Mahabbah iaitu di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Miri, Sarawak dan terbaharu di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kelantan.
“Secara keseluruhan kita memiliki seramai 340 kanak-kanak bersama penjaga yang ditempatkan di empat Baitul Mahabbah dan 84 sudah dihantar pulang sejak pembukaan pusat ini pada September tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Tanah Merah di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, penempatan di pusat jagaan itu bersifat sementara dan pengurusan depot telah berhubung dengan pihak kedutaan selain menunggu respons berkaitan dokumen perjalanan sebelum mereka dihantar pulang.
“Pengoperasian merangkumi penyelarasan aktiviti penjagaan dan pembelajaran, khidmat runding cara, merangka aktiviti harian, mengawasi kanak-kanak serta perancangan pelaksanaan pemantuan program yang bermanfaat kepada mereka seperti membaca, melukis atau menyanyi,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan lokasi Baitul Mahabbah di Tanah Merah dibuat kerana persekitaran yang kondusif dan berdekatan dengan kemudahan seperti hospital, balai polis serta balai bomba.
Beliau berkata, antara kemudahan yang disediakan ialah bilik tidur, tandas, ruang kawalan pegawai, stor penyimpanan barang serta taman permainan kanak-kanak.
Sementara itu katanya, pusat itu mampu menempatkan seramai 27 orang iaitu 10 kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan dan 10 penjaga perempuan yang terdiri warga Kemboja, Indonesia, Myanmar, Afghanistan dan Bangladesh.