Politik

SD bukan kayu ukur utama bentuk kerajaan – Azalina

KUALA LUMPUR – Akuan bersumpah (SD) bukan satu-satunya kayu ukur utama tahap sokongan wakil rakyat untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebaliknya berkata, pembentukan itu diputuskan hasil rundingan membabitkan parti-parti politik, dan pada masa sama juga mereka yang memenangi PRU masih belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Selain itu, undang-undang antilompat parti juga sudah terpakai ketika itu, sekali gus menyekat wakil rakyat daripada beralih sokongan kepada parti lain.

“Isunya bukan sama ada anda mempunyai atau tidak angka (SD). Kita mesti faham bahawa selepas pembubaran Parlimen, kita mewujudkan PRU. Selepas PRU, selalunya proses yang berlaku ialah parti politik bertanding yang mana dapat kerusi lebih.

“Kita bukan berdepan pertandingan sukan yang ada peraturan dan garis panduan sebab syaratnya bertulis. Dalam kes ini, apabila sesiapa yang dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong… dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong kena berpuas hati. Itu yang bermaksud budi bicara.

“Jadi dalam perkara ini, kalau dari mula dia tidak ada jumlah mana-mana parti yang mempunyai banyak angka, dan kedua Yang di-Pertuan Agong masa dulu (ketika itu) sudah menitahkan supaya pengiraan atau parti dengan parti bersetuju. Maknanya parti kena bersetuju, bukan individu.

“Dalam hal ini, dia kata parti dengan parti bersetuju dan dia mesti tertakluk kepada perjanjian disebut secara ‘post election coalition agreement’. Dalam hal ini, isu SD itu bukan pengukur… Pada sayalah, ” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian ketika ditanya mengenai ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang mendakwa beliau mempunyai 115 SD selepas PRU15 pada 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button