Raja Permaisuri berkenan rasmikan Floria Diraja Putrajaya
PUTRAJAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2024 dalam satu majlis yang berlangsung dengan penuh meriah hari ini.
Ketibaan baginda disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
Pada acara itu, Raja Zarith Sofiah turut diberi penghormatan menerima orkid hibrid baru dari spesies Vanda yang dinamakan ‘Vandachostylis Queen Zarith Sofiah’ sebagai simbolik kenang-kenangan daripada Perbadanan Putrajaya (PPj).
Floria Diraja Putrajaya kali ke-13 yang dianjurkan oleh PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan, mengangkat tema “Raikan Bersama” dan dibuka kepada pengunjung bermula hari ini sehingga 1 September.
Bermula sejak 2007, Floria Diraja Putrajaya 2024 juga merupakan produk pelancongan PPj bertaraf antarabangsa yang telah menarik ribuan pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pada tahun ini, bunga Petunia dipilih sebagai tema Floria Diraja Putrajaya 2024 kerana keunikan dan keindahan struktur pertumbuhannya dengan kelopak yang cantik dan menjurai, mencipta elemen estetika yang mampu menceriakan pengunjung.
Penganjuran Floria Diraja itu juga berperanan dalam memperkukuh konsep C.H.A.S.E City (bandar bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam) di Putrajaya.