JPJ sita 31 kenderaan dalam Operasi Khas PeWA di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 31 kenderaan termasuk jentolak dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) di sekitar daerah Cameron Highlands di sini.
Dalam operasi khas selama dua hari bermula semalam, seramai 20 lelaki warganegara Pakistan, Bangladesh, India dan Nepal berusia 30 hingga 50 tahun turut dikesan melakukan pelbagai kesalahan.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, operasi tersebut tertumpu kepada warga asing yang memandu tanpa memiliki lesen yang sah, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada teknikal kenderaan dan keselamatan yang berisiko berlakunya kemalangan.
“Dalam operasi ini, sebanyak 204 kenderaan telah diperiksa yang mana 31 kenderaan termasuk tiga motosikal, kereta (1), pikap (11), lori (13), jentolak (1) dan dua van di sita.
“Selain itu, 138 notis pelbagai kesalahan antaranya tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dikeluarkan kepada 75 pemandu termasuk 46 warga asing serta 63 pemilik,” katanya dalam sidang akhbar Operasi PeWA dan Pelanjutan Pengurangan Kadar Bayaran Fi LKM di JPJ Cawangan Cameron Highlands, di sini hari ini.
Tambahnya, seorang warga asing turut diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas didapati gagal mengemukakan dokumen sah untuk diambil tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Aedy Fadly turut berkata, ramai rakyat tempatan di daerah ini mengambil ringan terhadap undang-undang dengan membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen sehingga merisikokan pengguna jalan raya lain.
“Jalan raya di Cameron Highlands agak berisiko dan kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku sekiranya berlaku kemalangan.
“JPJ sentiasa melaksanakan operasi sebagai peringatkan kepada pemilik kenderaan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing yang tidak memiliki lesen sah memandu kenderaan kerana akan mengakibatkan risiko bukan sahaja kepada pengguna jalan raya malah pemandu itu sendiri,” katanya lagi.