Sukan

Terbuka Jepun: Zii Jia tewas pusingan pertama di tangan pemain Perancis

KUALA LUMPUR – Pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun menyaksikan kejutan apabila perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Perancis, Alex Lanier.

Zii Jia yang baru memenangi pingat gangsa Olimpik Paris tewas 18-21, 13-21 dalam aksi selama 41 minit di Yokohama Arena sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, Zii Jia yang merupakan pemain nombor enam dunia gagal mengekang asakan bertali arus yang ditampilkan Alex Lanier di set pertama yang berkesudahan dengan 18-21.

Di set kedua, Lanier sekali lagi mengekalkan aksi kemas dengan menguasai perlawanan,
sekali gus meranapkan peluang juara All England 2021 itu untuk mara ke pusingan seterusnya.

Turut berkongsi nasib yang sama,
pemain perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei yang terpaksa akur tewas 18-21, 10-21 kepada pilihan ketiga dari China, Wang Zhi Yi.

Sementara itu, dua beregu lelaki kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.

Show More

Related Articles

Back to top button